Maka berlumba-lumbalah kamu dalam membuat kebaikan(Al-Baqarah:148)

Amiru Ca'aziq

Bawang Penyatu Langit Dan Bumi



Hari ini saya nak bercerita tentang bawang, mesti korang
nak tahu kenapa saya cerita pasal bawang kalau nak tahu...
bacalah di bawah.


Soalan:
Saya ada mendengar hadis Nabi s.a.w. yang melarang orang yang makan bawang dan
seumpamanya memasuki masjid. Apakah nilai yang boleh diambil selain kerana bau bawang
tersebut mengganggu orang lain?

Jawapan:
Kehidupan harian manusia melibat hubungan dua hala yang tidak dapat dipisahkan kerana
manusia ialah makhluk yang memerlukan sosial. Sifat bersosial ini merupakan aturan Allah s.w.t. kepada manusia kerana manusia dijadikan untuk saling mengenali antara satu sama lain.
   Sebenarnya hadis yang saudara nyatakan adalah berkenaan adab yang di ajar oleh rasulullah
s.a.w. berkenaan tatacara berada di dalam masjid iaitu dengan memakai wangi-wangian dan mengelakkan diri dari sebarang bau busuk yang tidak menyenangkan. Dalam masyarakat arab ketika itu, makanan yang paling mudah didapati dan murah ialah bawang. Oleh sebab itu, dinyatakan dalam hadis tersebut perihal Nabi s.a.w. tidak menyukai perbuatan mentah kerana
baunya terutama ketika di dalam masjid. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
 "Sesiapa yang makan bawang putih, bawang dan kurrath (sejenis makanan berbau), maka janganlah dia dekati masjid kami kerana malaikat disakiti (sebab bau tersebut) sebagaimana manusia juga"  (Hadis Riwayat Muslim)
   Menariknya, hadis berkenaan bawang ini boleh dipandang pada sisi yang lain dimana ia
merupakan salah satu cara penting dalam memulakan sesuatu hubungan sesama manusia. Justeru, keindahan islam dalam hadis tadi adalah untuk membina hubungan dengan menjaga sensitiviti orang lain dan menghormatinya. Maka dalam hadis disebut masjid, komuniti masjid, perihal makan bawang dan kesannya kepada manusia dan malaikat.
   Mari kita cuba mengambil hikmah daripada kisah hadis tersebut dan cuba membina nilai positif dalam mencerminkan bahawa islam merupakan satu cara hidup. Kehidupan boleh dikategorikan kepada tiga bahagian:
1)Ruang bersosial.
Manusia diberi ruang untuk bersosial, namun untuk memulakan hubungan memerlukan
pendahuluan yang betul. Di sini Islam mengajar bahawa memakai wangian ialah pendahuluan
yang baik.

2)Individu-individu di persekitaran.
Terdapat ramai individu yang kita akan jumpa sepanjang aktiviti sosial yang dilakukan sama
ada yang kita kenali ataupun tidak. Dalam islam itu tidak penting dan kerana menghormati
orang lain adalah perkara penting dan menjaga keharmonian suasana merupakan tanggungjawab bersama.

3)Membuat pilihan dan kesannya.
Sama ada untuk memakan bawang atau tidak merupakan pilihan. Oleh sebab itu, Islam mengajar
supaya membuat pilihan terbaik bukan sahaja untuk diri sendiri malahan yang paling penting
untuk orang lain. Kemungkinan ia mudah bagi kita seperti makan bawang, namun perlu
difikirkan adakah ia baik untuk mereka di sekeliling kita. Contohnya, membawa makanan yang enak tetapi berbau kurang menyenangkan bagi sesetengah rakan sepejabat. Lantaran kerana
itu mudah dan kegemaran kita, maka kesan kepada rakan sepejabat yang lain diabaikan.
Maka, pilihan kita mencerminkan sikap kita terhadap mereka yang berada di sekeliling kita
sama ada kita benar-benar menghormati mereka ataupun tidak. Sehubungan dengan itu, jelaslah islam bukannya agama yang anti sosial, malahan islam mempunyai mekanisma bersosial
terbaik. Hubungan sosial ini bukan terhad kepada sesama manusia malahan menjangkau
kepada hubungan yang baik dengan para malaikat ada di samping manusia. Rasulullah
s.a.w menyebutkan dalam hadis tersebut bahawa malaikat juga terkesan dengan bau busuk sepertimana terkesannya manusia. Renungilah! Betapa kuat kesanmenjaga kebersihan diri dan ditambah dengan kewangian membentuk satu jaringan hubungan dilangit dan bumi. Justeru, umat islam yang memahami hadis dan mengamalkan akan mampu menjadi individu terbaik di mana sahaja mereka berada dan dengan siapa sahaja mereka bersosial. Keindahan islam akan terzahir pada tingkah laku mereka yang begitu menghormati orang lain walaupun perkara itu kecil dan mudah seperti sebiji bawang. Nah, membina hubungan bukan semata-mata untuk diri anda, kadangkala memikirkan orang di sekeliling anda juga satu hubungan!
Ayuh cari reda di langit dan di bumi!

No comments :

 
full design : jiakreatifelt